Kumpulan Kajian Ingatan (Ingatan) merupakan sekumpulan penyelidik yang berpusat di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kumpulan ini terdiri daripada beberapa pensyarah, penyelidik bebas dan pelajar yang sedang melakukan penyelidikan mengenai ingatan dalam pelbagai konteks. Tujuan utama pembentukan kumpulan ini ialah untuk menawarkan suatu wadah bagi meneroka, membangun dan mengukuh bidang kajian ingatan (memory studies), sama ada melibatkan aspek teori, praktis dan kaedah. Dengan memberi tumpuan kepada aspek ingatan secara umum, kumpulan ini berhasrat untuk menjadikan bidang ingatan sebagai titik temu kepada beragam displin kajian, terutamanya sosiologi, antropologi, psikologi, neurologi dan biologi. Justeru itu, Ingatan mengalu-alukan kehadiran para pelajar, ahli akademik dan mereka yang berminat dalam kajian ingatan untuk membentang kertas kerja mereka dalam Siri Seminar Kajian Ingatan 2020 (SSKI 2020). Dengan ingatan sebagai titik temu, pesidangan ini membuka ruang wacana kepada penyelidikan mengenai ingatan melampaui bidang yang khusus seterusnya membentuk suatu rangkaian penyelidikan silang-displin, antara-displin dan rentas-displin, sesuai dengan perkembangan semasa kajian ingatan itu sendiri.
Tema Pembentangan
Meskipun SSKI 2020 mengalu-alukan semua segi perbincangan mengenai kajian ingatan, akan tetapi, tumpuan utama siri ini pada tahun 2020 ialah terbatas kepada pembangunan teori dan kegunannya dengan tema “Teori dan Aplikasi dalam Kajian Ingatan”. Justeru itu, siri ini berhasrat untuk membawa perbincangan beberapa tokoh teori dalam kajian ingatan seperti Emile Durkheim, Maurice Halbwachs, Aby Warburg, Pierre Nora, Jan & Aleida Assmann dan sebagainya. Bahkan, imbasan perbincangan beberapa pemikir lain—seperti Anthony Smith, Henri Bergson, Cathy Caruth, James Wertsch, Juri Lotman dan sebagainya—yang turut menyentuh persoalan ingatan juga dialu-alukan. Menerusi wacana berkenaan pemikiran tokoh serta buah fikiran yang terdapat dalam kajian ingatan ini, maka siri ini seterusnya boleh membahaskan aplikasi-aplikasi yang sesuai dengan kajian ingatan. Malah, secara tidak langsung, ruang yang diberi terhadap teori dan aplikasi ini turut mengukuhkan lagi kajian ingatan sebagai suatu objek kajian dan juga kaedah kajian sekaligus. Menerusi pendekatan menyeluruh ini, maka SSKI 2020 mengalu-alukan sebarang kertas kerja teori dan aplikasi—tidak terhad—yang melibatkan butiran di bawah:
- Ingatan dan Kebudayaan
- Ingatan dan Trauma
- Ingatan dan Kekerasan
- Ingatan dan Etika
- Ingatan dan Media
- Ingatan dan Identiti
- Ingatan dan Bangsa
- Ingatan, Makna dan Kehadiran
- Ingatan: Emosi, Perasaan dan Stimmung
- Politik Ingatan
- Ingatan Global
- Pasca-ingatan
- Ingatan dan Kajian Malaysia
Mekanisme SSKI 2020
SSKI 2020 ini akan diadakan dalam bentuk seminar berkala. Seminar berkala selama dua jam ini akan diadakan secara bersiri di sepanjang tahun 2020. Berikut adalah tarikh yang ditetapkan berserta dengan pembentang yang telahpun bersetuju untuk terlibat:
- 4 Februari 2020 – Teo Lee Ken (Universiti Alzahra, Tehran)
- 1 April 2020 – Anita Harris Satkunananthan (UKM)
- Jun 2020 –
- 9 Julai – Reza A.A Wattimena (Hochschule für Philosophie München)
- Ogos 2020 – Muhammad Febriansyah (USM)
- September 2020 – Markus Heidingsfelder (Xiamen University Malaysia Campus)
- Oktober 2020 –
- Disember 2020 –
Manakala setiap pembentangan boleh diadakan dalam Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris. Sekiranya ada yang berminat, para pembentang boleh hubungi penganjur dan menghantar abstrak pembentangan. Kesemua kertas pembentangan direncanakan untuk dimuatkan dalam sebuah buku yang kelak diterbitkan oleh Penerbit UKM.
Setiap abstrak bagi kertas pembentangan mestilah tidak lebih 200 patah perkataan. Manakala setiap makalah pembentangan mestilah tidak lebih daripada 7000 patah perkataan. Berikut adalah tarikh-tarikh penting berkenaan SSKI 2020.
- Masa seminar: 10 pagi — 12 tengahari
- Tarikh Seminar: Dwi bulanan (Feb, Apr, Jun, Ogos, Okt, Dis)
- Tempat Seminar: IKMAS, UKM
Perhubungan
Sebarang pertanyaan mengenai Seminar Ingatan Kebangsaan 2020 boleh ditujukan kepada: ingatanmalaysia@gmail.com atau ramze@ukm.edu.my. Manakala abstrak pembentangan boleh dihantar ke alamat emel yang sama.
Kumpulan Kajian Ingatan
Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
http://memorystudies.my